GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Amalina Alias


TIGA beranak berdepan detik cemas apabila ditahan dua lelaki dipercayai menyamar sebagai polis sebelum kenderaan mereka dilarikan dalam kejadian di Jalan Kampung Sungai, Bachok, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 5.40 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun bersama abang ipar dan anak saudara dalam perjalanan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk pulang ke rumah di Kampung Cherang Ruku, Pasir Puteh.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, mangsa memandu kereta Perodua Myvi dihalang kereta Perodua Myvi berwarna biru dinaiki dua lelaki berusia 20-an.

Beliau berkata, suspek mengarahkan mangsa dan dua ahli keluarga keluar dari kenderaan dan mangsa ternampak seorang daripada suspek memegang sesuatu dipercayai senjata api.

 SAMSULMUDDIN SULAIMAN
SAMSULMUDDIN SULAIMAN

"Suspek kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah jalan raya dan pengadu sempat melihat suspek memakai vest bertulisan polis di bahagian belakang.

"Suspek membawa lari kereta mangsa dan siasatan awal ke lokasi kejadian polis menemui satu butir peluru," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang selamat kemudian membuat laporan polis dan setakat ini, kes dipercayai membabitkan curi kenderaan.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan polis sedang mengesan suspek.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 3:09 PM