KEADAAN kereta sebuah keluarga yang kemalangan dalam kejadian di simpang Kampung Sungai, Bachok. FOTO Ihsan pembaca
KEADAAN kereta sebuah keluarga yang kemalangan dalam kejadian di simpang Kampung Sungai, Bachok. FOTO Ihsan pembaca
Nor Amalina Alias


HARI kedua Ramadan meninggalkan kisah pilu buat seorang suami apabila dia kehilangan isteri tercinta dalam kemalangan di simpang Kampung Sungai, Bachok, semalam.

Kejadian berlaku 6.20 petang ketika lelaki berusia 33 tahun itu memandu kereta yang turut dinaiki isterinya berusia 28 tahun dan dua anak masing-masing berusia 11 dan tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, mereka menaiki Perodua Viva dipercayai dalam perjalanan dari Jalan Kampung Pengkalan Baru menghala ke Jalan Kampung Sungai.

Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta mereka hilang kawalan di laluan berselekoh akibat jalan licin selepas hujan di tempat kejadian.

"Kereta terbabit dipercayai terbabas ke kiri bahu jalan lalu melanggar tiang papan tanda dan pokok.

"Mangsa wanita meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Bachok untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suami dan dua anak mangsa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Katanya, mayat mangsa turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 2:30 PM