Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Kerana tidak puas hati tali pertunangan diputuskan, lelaki bertindak merempuh kenderaan bekas tunangnya dalam kejadian di Bandar Indah, Batu Empat, di sini, semalam.

Rakaman video kejadian membabitkan sebuah Perodua Viva merempuh Perodua Myvi turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya mengesan rakaman video di media sosial berdurasi 30 saat menunjukkan sebuah kenderaan dengan sengaja dipandu melanggar sebuah kenderaan lain.

Menurutnya, mangsa wanita berusia 20-an yang juga pemilik Perodua Myvi tampil membuat laporan kejadian di Balai Polis Sandakan pada hari yang sama.

"Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian terbabit berlaku di Bandar Indah kira-kira 2 petang semalam.

"Suspek lelaki yang juga bekas tunang mangsa berusia 20-an pada masa kejadian memandu Perodua Viva didapati dengan sengaja melanggar kenderaan mangsa yang diparkir di tempat letak kenderaan.

" Pada masa kejadian, mangsa tidak berada dalam kenderaannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas laporan, polis berjaya menahan suspek pada 11.15 malam semalam untuk membantu siasatan.

"Motif kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berikutan pertunangan mereka diputuskan.

"Suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

TANGKAP layar tular video berdurasi 30 saat menunjukkan sebuah kenderaan dengan sengaja dipandu melanggar sebuah kenderaan lain di parkir di Bandar Indah, Sandakan. FOTO Tular
TANGKAP layar tular video berdurasi 30 saat menunjukkan sebuah kenderaan dengan sengaja dipandu melanggar sebuah kenderaan lain di parkir di Bandar Indah, Sandakan. FOTO Tular

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 11:55 AM