Nur Izzati Mohamad


KERETA milik mak nyah dilarikan lelaki yang baru dikenali melalui media sosial dalam kejadian di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Luar Lingkaran Tengah (BORR), Bagan Ajam, Butterworth Selasa lalu.

Difahamkan, mak nyah berusia 49 tahun itu baru tiga hari mengenali lelaki terbabit dan mereka keluar bersama sebelum berhenti di R&R terbabit kerana mangsa mahu menggunakan tandas.

Bagaimanapun, sebaik keluar tandas mangsa mendapati Perodua Myvi miliknya sudah hilang dipercayai dilarikan lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa membuat laporan polis berhubung insiden itu dan memaklumkan terdapat beberapa dokumen dan kad bank dalam keretanya.

Perodua Myvi mangsa yang dileraikan suspek. FOTO Ramdzan Masiam
Perodua Myvi mangsa yang dileraikan suspek. FOTO Ramdzan Masiam

“Susulan laporan itu, polis melancarkan Op Lejang dan menahan empat lelaki berusia 23 hingga 42 tahun jam 6 petang di lokasi sama yang dilaporkan mangsa.

“Hasil soal siasat mendapati keempat-empat suspek mengaku terbabit dalam kegiatan curi kenderaan di kawasan R&R berkenaan,” katanya hari ini.

Noorzainy berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek mencuri kenderaan dan meleraikan komponennya untuk dijual.

“Polis merampas dua beg mengandungi jam tangan, sebuah telefon bimbit, walkie-talkie dan beberapa keping kad pelbagai jenis untuk siasatan.

“Selain itu, rangka Perodua Myvi dipercayai milik mangsa serta enjin dan nombor casis yang sudah diubahsuai dirampas dalam serbuan berkenaan,” katanya.

Pemeriksaan ujian saringan air kencing juga mendapati semua suspek positif dadah dan mereka direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 5:43 PM