GAMBAR suspek dua lelaki, Muhammad Amin Abdullah dan Muhamad Azwa Asyraf Mohd Nor, diminta hadir ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bachok bagi membantu siasatan kes bekas tentera cedera ditembak dan ditetak di Bukit Marak. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
GAMBAR suspek dua lelaki, Muhammad Amin Abdullah dan Muhamad Azwa Asyraf Mohd Nor, diminta hadir ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bachok bagi membantu siasatan kes bekas tentera cedera ditembak dan ditetak di Bukit Marak. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


POLIS mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes bekas tentera cedera ditembak dan ditetak dalam kejadian awal pagi semalam.

Mereka ialah Muhammad Amin Abdullah dan Muhamad Azwa Asyraf Mohd Nor, masing-masing berusia 23 tahun dan dipercayai berasal dari Bachok.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, mereka atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bachok.

Katanya, ketika ini pihaknya sudah mengambil keterangan lima saksi termasuk mangsa yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Mangsa sudah menjalani pembedahan dan terdapat satu peluru di punggung mangsa. Dia dilaporkan stabil.

“Siasatan awal juga mangsa dipercayai hanya mengenali seorang daripada tiga suspek kejadian itu,” katanya ketika ditemui di IPD Bachok, hari ini.

Samsulmuddin berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat namun siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada salah seorang suspek yang berhutang dengan mangsa.

Dalam kejadian 1 pagi itu di Kampung Bukit Marak, mangsa berusia 34 tahun cedera ditetak dengan pedang di bahu kanan dan ditembak di punggung.

Mangsa dipercayai dihubungi seorang individu untuk berjumpa di hadapan rumahnya, sebelum Perodua Kelisa dinaiki tiga lelaki berhenti kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Ketika mangsa berjalan ke arah kereta itu, seorang suspek menetak mangsa menggunakan pedang dan seorang lagi melepaskan tujuh das tembakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Berita berkaitan

Bekas tentera cedera ditetak dan ditembak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 5:32 PM