Mohamed Farid Noh


KEMENTERIAN Kesihatan bersedia meminda Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) untuk menaikkan kadar kompaun pada sesi Parlimen, November ini.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke Kabinet bagi dibincangkan terutama behubung kadar kompaun yang bersesuaian.

Katanya, Kementerian Kesihatan juga mahu mendapatkan maklum balas pelbagai pihak terutama rakyat sebelum ketetapan mengenai kenaikan kompaun itu dimuktamadkan.

"Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi yang bersetuju supaya kompaun dinaikkan atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan adalah amat wajar.

"Kementerian Kesihatan menyambut baik persetujuan Perdana Menteri itu dan kita akan pinda Akta 342 bagi menaikkan nilai kompaun pada sidang Parlimen November ini.

"Bagaimanapun,kita mahu tahu apa pandangan rakyat mengenai langkah ini (naikkan kompaun) kerana pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini ada Ahli Parlimen yang meminta nilai kompaun diturunkan kerana ia membebankan golongan tidak mampu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan pelitup muka kepada Pertubuhan Gabungan Tahfiz Negeri Johor di Kota Tinggi, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim dan Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Mas Imran Adam.

ADHAM (tengah) pada majlis pelancaran. FOTO Omar Ahmad
ADHAM (tengah) pada majlis pelancaran. FOTO Omar Ahmad

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan menyokong cadangan Kementerian Kesihatan untuk menaikkan kadar kompaun ke atas mereka yang ingkar peraturan Akta 342.

Muhyiddin dilaporkan berkata, cadangan itu mahu menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan berkaitan, sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda daripada kadar sekarang.

Mengulas lanjut,Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, anggota penguat kuasa boleh menggunakan budi bicara dalam mengeluarkan kompaun mengikut Akta 342.

"Walaupun kompaun maksimum Akta 342 ketika ini adalah RM1,000, penguat kuasa boleh gunakan budi bicara bermula RM100, RM200 namun jika kesalahan itu memang serius amat wajar dikompaun maksimum," katanya.

Ditanya cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang mencadangkan kompaun dinaikkan dari kadar semasa RM1,000 kepada RM10,000, Dr Adham berkata, ia dicadangkan berikutan kebimbangan Dr Noor Hisham berikutan kewujudan beberapa kluster baharu termasuk Kluster Sivagangga, Tawar, Sala, Muda dan terbaharu di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Sungai Udang.

"Ia pandangan peribadi Ketua Pengarah Kesihatan berikutan bimbang dengan kewujudan kluster baharu.

"Kita berharap media juga main peranan dalam mendapatkan maklum balas rakyat mengenai langkah kerajaan mahu menaikkan kompaun pada yang ingkar SOP, " katanya.

ADHAM (tengah) pada majlis pelancaran. FOTO Omar Ahmad
ADHAM (tengah) pada majlis pelancaran. FOTO Omar Ahmad

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 12:40 PM