Mohd Amin Jalil

Seremban: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) mengeluarkan 4,908 kompaun bernilai hampir RM2.3 juta kepada individu dan syarikat atas kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, kompaun itu dikeluarkan bagi tempoh antara Mac 2020 hingga 4 September lalu.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, terdapat 592 kes didaftarkan di mahkamah disebabkan orang kena kompaun gagal menjelaskan bayaran ditetapkan.

"Sebanyak 68 kes disabitkan dengan kesalahan di mahkamah dengan 63 daripadanya dijatuhkan hukuman denda bernilai keseluruhan RM40,250.

"Manakala sebahagian daripada kes berkenaan ketika ini masih di peringkat sebutan di mahkamah.

"Dalam tempoh sama, 268 premis dikenakan penutupan sementara bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19," katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi penguatkuasaan Akta 342 di Seremban 2, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JKNNS, Dr Mohammad Faid Abd Rashid dan Pegawai Kesihatan Daerah Seremban, Dr Noor Khalili Mohd Ali.

S VEERAPAN (tengah) dan Dr Mohammad Faid (dua kanan) membuat pemeriksaan terhadap pengunjung di sebuah restoran dalam operasi Akta 342 di Seremban 2. FOTO Mohd Amin Jalil
S VEERAPAN (tengah) dan Dr Mohammad Faid (dua kanan) membuat pemeriksaan terhadap pengunjung di sebuah restoran dalam operasi Akta 342 di Seremban 2. FOTO Mohd Amin Jalil

Veerapan berkata, Negeri Sembilan ketika ini berada pada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menjalani kehidupan dan melakukan aktiviti harian tanpa sekatan ketat berbanding ketika Fasa Pertama dan Kedua.

Bagaimanapun, beliau berkata, pematuhan terhadap Akta 342 dan prosedur operasi standard (SOP) amat penting agar penularan Covid-19 dapat dikawal.

Sementara itu, Dr Mohammad Faid berkata, JKNNS sedang mempertingkatkan lagi operasi pematuhan SOP di kawasan tumpuan ramai termasuk di lokasi pelancongan dan pantai peranginan.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson untuk memantau keadaan orang ramai di pantai peranginan Port Dickson selepas kawasan itu kembali dikunjungi ramai terutama pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:21 PM