Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Hospital kerajaan dan klinik kesihatan di Negeri Sembilan akan jadi perintis kepada projek bebas kertas.

Ia dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengaplikasikan penggunaan sistem simpanan rekod perubatan kesihatan secara elektronik.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, tender bagi pemasangan sistem rekod perubatan kesihatan secara elektronik sudah dibuka, baru-baru ini.

"Hospital dan klinik kesihatan di Negeri Sembilan akan menjadi yang pertama menggunakan sistem rekod kesihatan elektronik, bebas penggunaan kertas.

"Pemilihan Negeri Sembilan dibuat kerana ia bersedia dan sebuah negeri yang kecil, jadi lebih mudah.

"Kita akan pilih vendor dalam masa terdekat melalui tender terbuka terbabit," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Adham (tiga kanan) bersama Khairy (dua kanan) melawat pameran selepas Majlis Pelancaran Hab NTIS.  FOTO Azhar Ramli
Adham (tiga kanan) bersama Khairy (dua kanan) melawat pameran selepas Majlis Pelancaran Hab NTIS. FOTO Azhar Ramli

Menurut Khairy, vendor yang dipilih akan menaik taraf dan memasang sistem rekod kesihatan elektronik di semua hospital dan klinik kesihatan.

"Jika projek rintis ini berjaya, kita akan melihat keperluan untuk memperluaskannya ke hospital dan klinik kesihatan seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, langkah itu diperkenalkan bagi memastikan tiada lagi hospital dibebankan dengan penggunaan kertas, sebaliknya semua rekod disimpan secara elektronik.

"Saya pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), sebuah hospital terbesar dalam negara tetapi masih menggunakan simpanan rekod tidak secara elektronik.

"Bagi mencari rekod perubatan pesakit, mereka (kakitangan) kadangkala perlu melihat ribuan fail.

"Jika lihat klinik kesihatan kita, oleh kerana tidak boleh musnahkan rekod pesakit untuk tujuh tahun, di koridor klinik kadang-kadang ada 'bertimbun-timbun' dengan fail fizikal pesakit.

"Jadi, ini yang Kementerian Kesihatan (KKM) hendak percepatkan seiring kemajuan dan inovasi teknologi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 7:58 PM