AHMAD menceritakan pengalaman pernah diserang hendap komunis di Sungai Lembing pada 1949 menyebabkan sembilan rakannya terkorban ketika ditemui di rumahnya di Kampung Temai Tengah, Pekan, hari ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
AHMAD menceritakan pengalaman pernah diserang hendap komunis di Sungai Lembing pada 1949 menyebabkan sembilan rakannya terkorban ketika ditemui di rumahnya di Kampung Temai Tengah, Pekan, hari ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


‘KEJADIAN sembilan rakan terkorban ketika diserang hendap komunis di kawasan hutan Kubang Puyu, Sungai Lembing pada 1949 ketika mengiringi bas menjadi sejarah hitam tidak mungkin dapat dilupakan.

“Selepas cubaan meletupkan kenderaan menggunakan tiga bom tangan tidak berjaya kerana bom tidak meletup, komunis bertindak ganas dengan menembak secara bertalu-talu menyebabkan saya dan rakan tidak sempat berbuat apa-apa,” kata bekas anggota Polis Khas (AC), Ahmad Ali, 92.

Ahmad yang kini menetap di Kampung Temai Tengah, Pekan, berkata sembilan rakannya terkorban dan dia berpura-pura mati ketika komunis membuat pemeriksaan serta sempat mengambil darah rakan untuk disapu pada pakaian bagi mengelakkan dikesan.

Katanya, ketika kejadian mereka bertugas mengawal keselamatan di Sungai Lembing yang menjadi pengeluar utama bijih timah dunia dengan mengiringi bas membawa penumpang berulang alik ke Kuantan.

“Komunis marah pada pemilik syarikat (pelombong bijih timah) yang tidak menyokong perjuangannya, jadi mereka memusnahkan bas dengan pelbagai cara.

“Beberapa bas dibakar sehingga menyebabkan penduduk Sungai Lembing tidak boleh ke Kuantan bagi menyelesaikan pelbagai urusan,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Ahmad yang menerima pingat Jasa Pahlawan Negara tiga tahun lalu, berkata sebagai anggota AC, dia menerima gaji RM45 sebulan namun ia tidak mematahkan semangatnya kerana dia lebih berazam mahu mempertahankan negara.

“Sebagai anggota polis yang sentiasa berdepan kejadian tidak diingini, saya perlu memiliki sedikit kemahiran mempertahankan diri termasuk ilmu agama yang dijadikan pegangan.

“Pengalaman bertugas mempertahankan negara adalah kenangan tidak boleh saya lupakan terutama apabila hampir maut, penderitaan mengajar erti kemerdekaan yang sebenar.

“Generasi hari ini perlu menjaga kemerdekaan dikecapi sebaik mungkin, jangan mengundang lagi negara ini dijajah oleh kuasa luar,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Bekas Polis cawangan Pekan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 8:23 PM