Bashir Ahmad menyiram air mawar dipusara anaknya,Puteri Qaseh Maisara yang maut dalam kemalangan di Matang Jelutong pada malam semalam. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Bashir Ahmad menyiram air mawar dipusara anaknya,Puteri Qaseh Maisara yang maut dalam kemalangan di Matang Jelutong pada malam semalam. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: "Hati saya berdebar-debar apabila melihat dua ambulans berlalu dengan laju di hadapan rumah, ketika itu saya tergerak menghubungi isteri, namun gagal," kata Bashir Ahmad.

Bashir, 36 adalah bapa kepada Puteri Qaseh Maisara, 6, yang maut selepas motosikal ditunggangi bersama ibu, abang dan sepupunya dilanggar sebuah kereta di Matang Jelutong, Alor Pongsu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, Puteri Qaseh Maisara bersama ibunya, Siti Norlaila Mat Said, 32; abang sulong, Ahmad Mudashir, 7 dan sepupunya Nur Azlin Mohd Johan, 14, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Matang Merbau selepas mengaji al-Quran.

Anak kedua dari tiga beradik itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar.

Bashir berkata, dia berasa ada sesuatu tidak kena dan keluar mencari sebelum dimaklumkan mereka terbabit kemalangan.

"Sebaik tiba di lokasi kemalangan, saya melihat isteri berlumuran darah di bahagian muka, manakala anak-anak anak serta anak saudara sudah dibawa ke Hospital Parit Buntar dengan ambulans.

"Saya tidak sangka akan kehilangannya (Puteri Qaseh Maisara) dan berasa amat terkilan kerana tidak berada di sampingnya ketika saat akhir.

"Malam sebelum kejadian dia menyuapkan sepotong kek kepada saya sambil memaklumkan dia mendapat tempat pertama di Tabika Kemas Alor Pongsu," katanya ketika ditemui selepas pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Sungai Semambu di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak perempuan maut apabila motosikal dinaiki bersama tiga individu lain terbabas ke dalam parit selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dilapor berkata, kejadian membabitkan Proton Persona dipandu seorang lelaki yang melanggar belakang motosikal ditunggang seorang wanita berusia 32 tahun berserta tiga pemboncengnya, menyebabkan motosikal itu terbabas memasuki parit.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd Ibrahim Mat Said, 36, berkata, dia berharap pihak berkuasa dapat melebarkan laluan Jalan Selama-Bagan Serai, di sini bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Ia adalah laluan utama yang digunakan oleh orang ramai untuk masuk keluar dari Plaza Tol Alor Pongsu.

"Jalan sedia ada ini sempit dan jika berselisih dengan kenderaan berat boleh mengundang bahaya kerana tidak ada tempat kaki lima untuk motosikal mengelak," katanya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Semambu, pada 2.50 petang, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 6:31 PM