Omar Bakhtiar menunjukkan dadah yang siap dibungkus untuk diedarkan selepas ditemui berselerak di lebuh raya.
Omar Bakhtiar menunjukkan dadah yang siap dibungkus untuk diedarkan selepas ditemui berselerak di lebuh raya.

Bagan Serai: Kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Kilometer 187, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah Selatan, di sini, Sabtu lalu, membongkar kegiatan pengedaran dadah dipercayai dijalankan penunggang motosikal yang maut dalam kejadian itu selepas dadah yang siap dibungkus ditemui bertaburan di atas jalan.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 11 pagi dan pemeriksaan di lokasi kejadian menemui 700 gram dadah siap dibungkus berselerak di dalam plastik lut sinar.

“Siasatan mendapati motosikal Yamaha 125 ZR yang dinaiki mangsa dipercayai merempuh belakang lori di lokasi kejadian menyebabkan mangsa berusia 32 tahun dan berasal dari Kamunting, Taiping, mati di tempat kejadian.

“Polis turut menemui sebilangan besar bungkusan plastik lut sinar mengandungi heroin dan syabu bertaburan di atas jalan dan pemeriksaan lanjut pada beg sandang mangsa menemui beberapa lagi bungkusan dadah sama,” katanya.

Menurutnya, heroin yang dianggarkan seberat 675.05 gram dan syabu 2.75 gram itu dirampas, manakala mayat dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 6:50 AM