ENAM remaja lelaki ditahan selepas dipercayai melakukakn aksi berbahaya di jalanan menerusi Op Samseng Jalanan di sekitar Taman Scientex, kira-kira jam 5 petang semalam. FOTO  ihsan Polis Johor
ENAM remaja lelaki ditahan selepas dipercayai melakukakn aksi berbahaya di jalanan menerusi Op Samseng Jalanan di sekitar Taman Scientex, kira-kira jam 5 petang semalam. FOTO ihsan Polis Johor
Nurul Amanina Suhaini


ENAM remaja lelaki ditahan selepas melakukan aksi berbahaya dengan menunggang motosikal di jalan sekitar Taman Scientex, Pasir Gudang, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, bertindak atas maklumat dan risikan kegiatan samseng jalanan di daerah Seri Alam, JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dari Team Skuad 42 terdiri daripada 11 anggota termasuk pegawai menjalankan Op Samseng Jalanan di lokasi berkenaan kira-kira jam 5 petang.

Katanya, berdasarkan maklumat, lokasi itu sering dijadikan gelanggang bagi remaja melakukan aksi tunggangan bahaya seperti wheelie, zig zag dan lain-lain pada waktu petang.

"Hasil operasi, polis menahan enam remaja berusia 13 hingga 16 tahun dan soal siasat mendapati ada di antara mereka menggunakan motosikal milik bapa dan abang ketika melakukan aksi itu.

"Sebanyak enam saman dengan 17 kesalahan dikeluarkan terhadap semua yang ditahan selain turut menyita lima motosikal.

"Ujian saringan air kencing mendapati semua enam remaja terbabit negatif dadah dan kita akan memohon perintah reman bagi membantu siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Selama tempoh bermula 1 Ogos hingga 20 Ogos, JSPT Kontinjen Johor juga melancarkan beberapa operasi antaranya 10 Op Samseng Jalanan membabitkan 20 tangkapan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan 27 Op Mabuk membabitkan 36 tangkapan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Turut dijalankan, sebanyak 14 Op Perdagangan membabitkan 11 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"JSPT Kontinjen Johor akan menjalankan operasi ini secara berterusan dengan konsep Total Enforcement bagi mengambil tindakan tegas terhadap pemandu dan pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan jalan raya," katanya.

#kw aksi bahaya, motosikal, remaja, Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 8:09 PM