Norazura Tahir (kanan) ceria selepas menerima sebuah televisyen untuk kegunaan muridnya di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus (PPDKN) hari ini. FOTO Malik Muhamad
Norazura Tahir (kanan) ceria selepas menerima sebuah televisyen untuk kegunaan muridnya di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus (PPDKN) hari ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


"SYUKUR dapat televisyen, ia dapat membantu meningkatkan lagi proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) serta menjadikan murid lebih fokus belajar," kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Rakit, Kuala Nerus, Norazura Tahir.

Katanya, sumbangan daripada Bank Rakyat itu bakal meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan di sekolah berkenaan ketika negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Kecaknaan pihak swasta seperti bank terhadap sekolah mampu meningkatkan kualiti sekolah dan kemenjadian murid lebih-lebih lagi sekolah kami dipilih dalam Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dan jalinan antara agensi luar akan dapat memperkasakan lagi sekolah," katanya.

Beliau ditemui selepas Program Profesionalisme Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus (PPDKN) Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim di PPDKN hari ini.

Turut hadir, Pegawai PPDKN, Hamid Yahya dan wakil Bank Rakyat, Bank Islam, RHB Bank, Bank Simpanan Nasional dan Co-opbank Pertama.

Sementara itu Hamid berkata, penyampaian sumbangan daripada pihak swasta seperti bank komersial itu mampu menjayakan kualiti sekolah dan kemenjadian murid.

"Sekolah yang diterajui oleh guru besar dan pengetua selain pembabitan ibu bapa, komuniti dan agensi mampu menjayakan paksinya iaitu pencapaian pelan pembangunan pendidikan Malaysia 2013-2025," katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 7:20 PM