RADZI berkata kemahiran sukan yang dipertandingkan secara rakaman video ini boleh dijadikan sebagai platform mengenal pasti bakat baharu. FOTO ROHANIS SHUKRI.
RADZI berkata kemahiran sukan yang dipertandingkan secara rakaman video ini boleh dijadikan sebagai platform mengenal pasti bakat baharu. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bh.com.my


Putrajaya: Penularan Covid-19 sejak tahun lalu menyaksikan penggunaan teknologi digunakan dalam penganjuran pertandingan sukan secara dalam talian untuk memastikan murid dapat kekal aktif.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia juga memberi peluang menonjolkan bakat sukan murid walaupun mereka berada di rumah masing-masing.

Malah, beliau berkata, Pertandingan Kemahiran Sukan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Secara Dalam Talian 2021 turut dianjurkan secara dalam talian dan disertai seramai 46,269 peserta.

"Kemahiran sukan yang dipertandingkan secara rakaman video ini boleh dijadikan sebagai platform mengenal pasti bakat baharu dan mempersiapkan atlet murid untuk bertanding dalam mana-mana kejohanan sukan akan datang," katanya pada Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO 2019, yang diadakan dalam talian, pagi ini.

Radzi berkata, pandemik Covid-19 yang bermula sejak awal 2020 turut memberi kesan yang mendalam kepada sektor pendidikan dan sektor sosial, terutama apabila Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertujuan mengekang penularan Covid-19, menyebabkan aktiviti sukan, termasuk latihan dan pertandingan secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

Pun begitu, katanya, ia tidak menjadi penghalang kepada guru untuk menjadi lebih kreatif dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi bagi meneruskan pembelajaran termasuk menggilap potensi murid dalam bidang sukan.

"KPM antara kementerian yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Dasar Sukan Negara. Usaha ini disokong dengan penubuhan Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri.

"Penubuhan sekolah sukan ini memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai murid yang berbakat di seluruh negara mendapat latihan serta bimbingan yang lebih bersistematik, sehingga berpeluang menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

"KPM amat menghargai usaha dan peranan yang dimainkan MSSM dalam mencungkil dan membentuk bakat atlet murid. Ramai daripada mereka berjaya mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa, termasuk di pentas sukan olimpik," katanya.

Radzi berkata, antara atlet termasuk atlet murid yang mengharumkan nama negara di persada dunia bermula daripada Sukan Olimpik 2000 di Sydney hingga Sukan Olimpik 2020 di Tokyo tahun ini, seramai 59 orang atlet murid daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Beliau berkata, ada antara atlet negara itu turut cemerlang di dalam bidang akademik dan mempunyai kerjaya yang hebat termasuk atlet gimrama, Lok Mei Hui, yang muncul pelajar terbaik aliran sains dengan memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020; jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang turut ditawarkan melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, selain itu atlet sukan memanah, Dr Mon Redee Sut Txi yang juga seorang Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan di UPSI dan pakar oftalmologi Dr Goh Yi Wei yang juga atlet sukan gimrama.

Pada masa sama, Radzi berkata, KPM sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai agensi dalam usaha meningkatkan kecemerlangan bidang sukan termasuk Syarikat Nestle Products Sdn Bhd yang terus menjadi penaja majlis anugerah sukan itu selain pelbagai aktiviti sukan di sekolah, khususnya MSSM.

"Melalui kerjasama yang erat ini, pelbagai kejayaan telah dilakar di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Justeru, saya menyeru agar semua pihak turut bersama-sama bergerak menjayakan Dasar 1Murid 1Sukan bagi melahirkan pelajar yang aktif bersukan sejajar dengan anjakan 9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 2:46 PM