AHLI penyelidik menunjukkan fosil dinosaur yang ditemui. FOTO Ihsan UMK.
AHLI penyelidik menunjukkan fosil dinosaur yang ditemui. FOTO Ihsan UMK.
Nor Amalina Alias


SEKUMPULAN penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendakwa menemui tujuh fosil tapak kaki dinosaur yang dianggarkan berusia ratusan hingga jutaan tahun di Bukit Panau, di Tanah Merah.

Tapak kaki berkenaan dipercayai dari spesis Sauropod dianggarkan berusia 66 hingga 160 juta tahun.

Spesis ini dikenal pasti berdasarkan morfologi tapak kaki dan kesan trek yang disahkan pakar dinosaur dunia daripada Jepun.

Penemuan itu hasil eksplorasi penyelidik Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB) UMK diketuai pensyarah FSB, Arham Muchtar Achmad Bahar; serta Profesor Surono Martosuwito, Profesor Udi Hartono dan Mohd Syakir Sulaiman.

Arham Muchtar berkata, aktiviti dan penyelidikan berkaitan kewujudan dinosaur di negeri ini bermula pada Mei 2017 sebelum pihaknya menemui fosil tapak dan laluan trek dinosaur dari sub kumpulan Saurapod di Bukit Panau.

"Kami menemui tujuh tapak kaki fosil berukuran purata 72 sentimeter panjang dan lebar dengan purata 66 sentimeter yang tercetak di atas batu pasir Kuarsa dari formasi Panau seluas 60 meter persegi.

"Penemuan ini membuktikan satu masa dulu, dinosaur pernah hidup di lokasi yang sekarang kita kenal sebagai Tanah Merah, Kelantan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, tarikh penemuan fosil berkenaan tidak dinyatakan.

Beliau berkata, dinosaur Sauropod adalah sejenis reptilia berkaki empat dalam kategori herbivor yang memakan tumbuh-tumbuhan.

"Berdasarkan bukti tapak kaki dijangka haiwan ini memiliki tubuh besar dengan tulang belakang setinggi sembilan meter, panjang sehingga 22 meter dan berat sekitar 30 hingga 40 tan.

"Spesis dinosaur ini dikenal sebagai haiwan terbesar hidup di muka bumi ini," katanya.

Beliau berkata, kewujudan dinosaur di Bukit Panau sudah dijangka banyak ahli geologi berdasarkan struktur muka bumi kawasan dikaitkan dengan kawasan di Thailand Selatan yang mengandungi fosil haiwan pra sejarah itu.

"Mengikut geologi Bukit Panau ini, dinosaur Saurapod ini hidup di persekitaran daratan khususnya berdekatan sungai berliku, bagaimanapun secara terperinci kami masih perlukan kajian mendalam kerana data yang diperlukan belum mencukupi.

"Kami berharap penemuan itu mendapat maklum balas positif semua pihak bagi meneruskan kajian ini malah kami percaya masih terdapat banyak lagi fosil dinosaur yang tersimpan di dalam batuan Bukit Panau," katanya.

Arham Muchtar berkata, lanjutan penemuan itu, pihaknya menerbitkan jurnal ilmiah bertajuk ' The Saurapod Dinosour Trackways from Tanah Merah, Kelantan' pada penganjuran Persidangan Sumber Tropika dan Sains Lestari (CTRESS) 2.0 secara dalam talian pada 11 dan 12 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 12:47 PM