PENYELIDIK ketika menemui rangka dinosour terbabit. FOTO/AGENSI
PENYELIDIK ketika menemui rangka dinosour terbabit. FOTO/AGENSI
AFP

BUENOS AIRES: Sepasukan ahli paleontologi dari Sepanyol dan Argentina berjaya menemui rangka dinosaur yang dipercayai hidup kira-kira 110 juta tahun lalu di bahagian tengah negara ini.

Penemuan itu diumumkan oleh Universiti Kebangsaan La Matanza, semalam.

Rangka itu dipercayai dari tiga dinosaur daripada kumpulan herbivor sauropod, yang terkenal dengan Diplodocus dan Brontosaurus.

Spesies baru ini dikenali sebagai Lavocatisaurus agrioensis.

“Kami berjaya menemui sebahagian besar tulang tengkorak, iaitu muncung, rahang, beberapa batang gigi dan tulang yang membentuk mata.

“Penemuan ini membolehkan kami melaksanakan pembinaan semula dengan hampir lengkap,” kata penyelidik di muzium Egidio Feruglio dan majlis penyelidikan saintifik kebangsaan, Luis Carballido.

Carballido berkata, turut ditemui beberapa bahagian leher, ekor dan belakang dinosaur berkenaan.

“Ia bukan sahaja penemuan satu spesies baru di kawasan yang tidak dijangkakan untuk menemui fosil, tetapi apa yang lebih baik tengkorak yang ditemui juga hampir lengkap,” kata Carballido.

Beliau berkata, rangka itu dipercayai milik dinosaur dewasa berukuran 12 meter panjang dan dua dinosaur kecil berukuran antara enam hingga tujuh meter.

Menurut ahli paleontologi, kesemua dinosaur itu bergerak dalam kumpulan dan mati bersama-sama.

“Penemuan dinosaur dewasa dan dua dinosaur remaja ini menunjukkan rekod pertama perpindahan dalam kumpulan rebbachisaurus,” kata penulis utama kajian dari Universiti Zaragoza, Jose Ignacio Canudo.

Lokasi penemuan fosil itu ditemui juga dianggap luar biasa bagi dinosaur kerana ia mungkin berasal dari padang pasir dengan beberapa tasik yang wujud pada zaman itu.

Sementara itu, sauropods adalah makhluk terbesar yang pernah hidup di bumi dan dipercayai Supersaurus boleh mencapai ketinggian sehingga 33 hingga 34 meter panjang, manakala Argentinosaurus boleh mencapai berat sehingga 120 tan.

Hasil penemuan di Neuquen itu diterbitkan dalam jurnal saintifik Acta Palaeontologica Polonica.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 1:29 PM