DATUK Christina Liew ketika sidang media khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
DATUK Christina Liew ketika sidang media khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
Rafiqah Dahali


PAKATAN Harapan (PH) mempertimbangkan cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Christina Liew menjelaskan perkara terbabit masih dalam proses perbincangan bersama parti gabungan lain iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan juga Amanah.

"Sebenarnya antara kami ada membincangkan mengenai perkara itu jadi boleh dikatakan ia masih di dalam proses perbincangan dan belum ada kata putus lagi.

"Kami juga ada merujuk kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beliau berkata biar ia ditentukan oleh parti masing-masing.

"Kami PH juga sebenarnya telah membuat perbincangan pada minggu lepas dan berbincang mengenainya," katanya.

Christina berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai cadangan Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah, Khairuddin Daud supaya PH dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggunakan logo Warisan sebagai tanda kesatuan semua parti yang menyokong Warisan di Sabah.

Beliau ditemui pemberita bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) Kota Kinabalu, pagi tadi.

Selain itu, Christina turut mengulas proses pemilihan calon untuk bertanding dalam PRN ini juga masih dalam proses penelitian untuk memuktamadkan calon.

"Kita memiliki autonomi dan kami amat hargai parti pusat membiarkan PKR Sabah memilih calon kami sendiri untuk bertanding.

"Kami telah membincangkan mengenai pengagihan kerusi ini sebanyak dua kali dalam mesyuarat dan mesyuarat terakhir akan diadakan pada minggu hadapan.

"Kita tidak mahu pengagihan kerusi ini bertindih jadi kita akan selesaikan semua persetujuan antara sesama sendiri sebelum ditentukan oleh Ketua Menteri nanti.

"Semua akan dimuktamadkan pada minggu hadapan dan apa yang paling penting ialah kami boleh menang," katanya.

Dalam pada itu, Christina turut menyatakan rasa kecewa dan terkejut mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Kenny Chua Teck Ho yang dipecat daripada PKR susulan tindakan Kenny menyokong bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Selain itu, beliau juga turut menyatakan kecewanya berikutan Kenny telah mengeluarkan kenyataan tindakan beliau keluar dari PKR disebabkan Warisan yang menyatakan sokongannya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kami terkejut dan kecewa. Saya tidak ada banyak komen mahu dikatakan kerana beliau (Kenny) sendiri keluar dari parti.

"Oleh itu, dalam pilihan raya akan datang kami akan lebih berhati-hati memilih calon," katanya.

Christina juga turut tidak ketinggalan mengulas mengenai Timbalan Pengerusi PKR Api-Api, Roman Lo yang mengumumkan keluar dari parti bersama 1,300 ahli untuk menyertai Parti Cinta Sabah (PCS) dua hari lalu.

"Dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) lepas pada tahun 2013 dan 2018, dia (Roman) tidak bersama kami untuk membantu dengan alasan beliau menguruskan perniagaannya, jadi kami terima alasan itu.

"Tapi tidak mengapa. Saya menghormati keputusannya untuk keluar dari parti untuk menyertai parti lain. Kami doakan semoga beliau berjaya di luar sana," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 3:58 PM