Suzanna Maidan


Penampang: Fokus utama Parti Keadilan Sabah (PKR) kini adalah untuk memastikan kemenangan tujuh calon daripada parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew berkata, fokus untuk menang itu adalah fasa ketiga parti itu dalam menghadapi pilihan raya ini.

Katanya, parti itu sudah melalui dua fasa iaitu perbincangan dan pemilihan calon parti manakala fasa kedua adalah berunding dengan semua rakan sekutu dalam Warisan Plus.

"Sekarang tumpuan kita adalah fasa ketiga iaitu memastikan semua tujuh calon itu menang pada PRN ini. Selepas ini, kita akan duduk bersama semua pemimpin dan cabang di bahagian untuk strategi seterusnya dalam memastikan kemenangan calon.

"Sekarang kita di fasa ketiga dan saya tidak akan menjawab apa-apa di luar fasa ketiga," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan watikah kepada calon yang bertanding pada PRN ini di Ibu Pejabat PKR Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penerangan PKR Pusat, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau mengulas sama ada berpuashati dengan jumlah kerusi yang diagihkan kepada parti itu pada PRN ini.

CHRISTINA. FOTO arkib NSTP
CHRISTINA. FOTO arkib NSTP

Pada Rabu, Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek, berkata PKR akan bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRN Sabah, hujung bulan ini.

Semalam Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hanya mengumumkan calon bagi parti itu, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) manakala UPKO oleh Presidennya, Datuk Madius Tangau.

PKR kemudian mengesahkan hanya tujuh kerusi ditandingi menerusi kenyataan medianya, malam tadi.

PKR adalah rakan sekutu dalam Warisan Plus selain Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO); DAP dan Amanah dengan diketuai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sementara itu, tujuh calon PKR yang akan bertanding pada PRN ialah Christina bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Api-Api diikuti Timbalan Pengerusi PKR, Mustapha Sakmud (Tempasuk); dan Ketua Pemuda PKR, Raymond Ahuar (Sook) selain Sazalye Donol Abdullah (Matunggong); Abdul Rahman Md Yakub (Klias) dan dua muka baharu iaitu bekas Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil dan Petu Galim (Inanam).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PKR memenangi dua daripada lapan kerusi DUN yang ditandingi iaitu Api-Api dan Inanam.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 2:54 PM