RAZEEF Rakimin. FOTO ihsan Angkatan Muda PKR Sabah
RAZEEF Rakimin. FOTO ihsan Angkatan Muda PKR Sabah
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Angkatan Muda PKR Sabah kecewa terhadap tindakan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin dalam satu kenyataan media semalam mempersoalkan tindakan WARISAN melanggar kerusi rakan dalam pakatan.

"PKR sebelum ini telah mengumumkan untuk bertanding 14 kerusi DUN iaitu Matunggong, Pintasan, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Petagas, Limbahau, Membakut, Klias, Kemabong, Sook, Sungai Manila dan Segama.

"Selain itu, PKR juga akan mengumumkan untuk menggunakan logo PKR sendiri namun bersama dalam Warisan Plus bagi mempertahankan kerajaan negeri.

"Namun semalam, WARISAN mengumumkan untuk bertanding di Pintasan, Petagas, Limbahau, Membakut, Sungai Manila dan Segama manakala kerusi Kemabong diserahkan kepada Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu ( UPKO ).

"Di sini saya ingin mempersoalkan di mana semangat kesatuan yang sering dilaungkan Shafie apabila dengan jelas melanggar kerusi rakan dalam pakatan?" katanya.

Dalam kenyataan media terbabit, Razeef turut berkata kekecewaan rakan komponen lain yang bersama WARISAN tidak mendapat tempat yang seharusnya mereka perolehi.

"Saya juga terkilan apabila rakan komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu AMANAH dan DAP tidak mendapat tempat selayaknya walaupun mereka banyak mengorbankan beberapa perkara untuk mendapat perhatian Shafie.

"Antara perkara yang sanggup mereka lakukan adalah menolak calon Perdana Menteri PH sebaliknya menyokong calon lain yang dicadangkan Mahathir iaitu Shafie Apdal sendiri.

"Terkini, DAP dan AMANAH sanggup memilih untuk menggunakan logo WARISAN sekaligus mengenepikan logo mereka sendiri dan logo PH walaupun UPKO menggunakan logo sendiri atas dasar prinsip dan hormat kepada organisasi.

"Namun apa yang berlaku akhirnya AMANAH cuma diberi ruang untuk bertanding hanya satu kerusi iaitu Tanjung Keramat serta terlepas beberapa kerusi berpotensi antaranya Pitas dan Sekong manakala beberapa kerusi potensi DAP dirampas WARISAN antaranya DUN Tulid serta beberapa DUN berpotensi buat DAP, " katanya.

Beliau juga menegaskan isu pengagihan kerusi seharusnya dilakikan dengan adil sebagai lambang kesatuan sesama sendiri.

"Kita tidak terlalu risau berkenaan isu agihan kerusi walaupun jumlahnya kecil namun biarlah dilakukan secara adil atas semangat muafakat dan kesatuan dalam Warisan Plus.

"Ini kerana rakyat sedang memerhati dan tidak mustahil jika bukan sahaja rakyat malah penyokong parti dalam Warisan Plus akan melakukan undi protes apabila mereka melihat WARISAN sebagai sebuah parti yang tamakkan kerusi," katanya.

Semalam, media melaporkan presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata setakat ini WARISAN, DAP, UPKO dan AMANAH akan bertanding di 66 kerusi, manakala selebihnya akan ditandingi PKR.

WARISAN mendapat 46 kerusi, UPKO (12), DAP (7), PKR (7) dan AMANAH (1), menyaksikan mereka bertanding di semua 73 kerusi DUN Sabah.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 11:32 AM