Suzanna Maidan


Kota Kinabalu: Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan rakan sekutunya, DAP, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) mengumumkan 66 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata, bagaimanapun PKR yang juga rakan sekutu WARISAN akan mengumumkan sendiri calon mereka pada majlis berasingan oleh Pengerusinya, Datuk Christina Liew.

"Hari ini hanya calon WARISAN, DAP, AMANAH dan UPKO yang diumumkan manakala calon PKR akan diumumkan sendiri oleh pengerusinya.

"DAP dan AMANAH setuju menggunakan logo WARISAN pada pilihan raya ini. UPKO akan menggunakan logo sendiri kerana sebagai parti tempatan, mereka perlu diberi ruang," katanya pada majlis pelancaran visi & misi WARISAN Plus dan Pengumuman Calon WARISAN Plus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Sebelum ini dilaporkan, PKR mahu 14 kerusi dan akan menggunakan logo sendiri.

Bagaimanapun, berdasarkan pengumuman calon oleh WARISAN Plus hari ini, hanya berbaki tujuh daripada 73 kerusi yang ada untuk PKR.

MOHD Shafie (dua kanan) bersama Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau (kanan) ketika Majlis Pelancaran Visi dan Misi dan Pengumuman Calon Warisan Plus. FOTO Malai Rosmah Tuah
MOHD Shafie (dua kanan) bersama Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau (kanan) ketika Majlis Pelancaran Visi dan Misi dan Pengumuman Calon Warisan Plus. FOTO Malai Rosmah Tuah

Terdahulu Mohd Shafie yang mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang, mengumumkan 46 kerusi akan ditandingi WARISAN manakala UPKO (12) dan DAP (tujuh).

Turut mempertahankan kerusi masing-masing ialah Datuk Dr Yusof Yacob di DUN Sindumin; Datuk Junz Wong (Tanjung Aru) dan Datuk Peter Anthony (Melalap).

Berhubung calon daripada WARISAN Plus, Mohd Shafie berkata, calon yang bertanding bagi parti WARISAN komponennya adalah gabungan calon daripada pelbagai profesion.

"Ada yang sebahagian besarnya orang muda dan ada yang mempunyai pengalaman sebagai ilmuan, bekas pentadbir dan pegawai kerajaan serta usahawan.

"Inilah calon-calon yang kita ketengahkan untuk mempastikan supaya kejayaan kita untuk berhadapan dengan PRN ini tercapai sebaik mungkin. Calon kita juga adalah gandingan muka baru dan lama.

"Ini adalah antara tindakan kita untuk pembabitan anak-anak kuda dalam gelanggang politik, sama ada daripada wira dan wirawati," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 6:07 PM