Anggota MAQIS sedang memeriksa salah sebuah lori yang membawa bekalan ikan dari negara jiran, Thailand dalam operasi di ICQS Rantau Panjang, di sini, semalam. FOTO IHSAN MAQIS
Anggota MAQIS sedang memeriksa salah sebuah lori yang membawa bekalan ikan dari negara jiran, Thailand dalam operasi di ICQS Rantau Panjang, di sini, semalam. FOTO IHSAN MAQIS
Syaherah Mustafa


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas pelbagai sayuran, buah-buahan selain hasil ikan berjumlah RM44,000 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini, semalam.

Pengarah MAQIS Negeri Kelantan Mohd Azam Yahya berkata, ia membabitkan rampasan 15.9 tan buah-buahan dan sayuran serta 210 kilogram ikan.

Menurut beliau, hasil Operasi Pematuhan Import Pertanian itu, enam lori didapati membawa kesemua barangan terbabit yang mana, pada kebiasaannya, ia dibawa keluar melalui pintu sempadan pada waktu petang.

"Barangan terbabit dibawa dari Thailand untuk pasaran tempatan namun menjadi kesalahan kerana tiada surat yang dikeluarkan MAQIS selain tidak mematuhi syarat permit import.

"Hasil operasi ini, kami dapati, masih ada segelintir pengimport yang berdegil dan tidak mahu mematuhi syarat import ditetapkan MAQIS," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) dan Seksyen 15 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 3:39 PM