ULAR tedung yang ditangkap anggota APM. FOTO Ihsan APM KUALA SELANGOR
ULAR tedung yang ditangkap anggota APM. FOTO Ihsan APM KUALA SELANGOR
Amirul Aiman Hamsuddin


PENEMUAN kulit ular di lantai bilik air sebuah rumah di Blok G, Sawah Sempadan di Tanjong Karang akhirnya membongkar kewujudan sarang ular tedung hitam bersama 20 telurnya.

Muhamad Mustafa Sapri, 38, bersama rakannya bernasib baik apabila rasa ingin tahu mereka sehingga bertindak memecahkan lantai simen bilik air itu membawa kepada penemuan sarang itu.

Menurutnya, dalam kejadian 3 petang semalam itu, mereka berdua menemui kulit ular itu dan nekad memecahkan lantai bilik air yang dijadikan lokasi menjemur pakaian.

"Saya curiga mungkin ada ular di kawasan berhampiran. Oleh itu kami cuba siasat dan bertindak memecahkan lantai.

"Telahan saya benar apabila menemui 20 telur haiwan itu malah melihat sendiri kelibat ular tedung hitam di bawah simen itu.

"Kami segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan menangkap ular itu," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan panggilan pada 3.10 petang semalam sebelum tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Tiba di lokasi, anggota bertindak membersih dan mengeluarkan telur ular itu untuk diletakkan di kawasan selamat.

"Kami kemudian membuat keputusan memecahkan lantai simen sebelum menemui ular tedung hitam sepanjang satu meter seberat satu kilogram di celah simen yang bertaburan," katanya.

Beliau berkata, operasi mengambil masa kira-kira 45 minit menggunakan peralatan khas.

"Ular dan telur yang ditemui itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 3:56 PM