PEKERJA ladang menunjukkan sisa tulang tikus yang menjadi makanan burung hantu yang dipelihara (gambar kecil) untuk menghapuskan  haiwan perosak di ladang.
PEKERJA ladang menunjukkan sisa tulang tikus yang menjadi makanan burung hantu yang dipelihara (gambar kecil) untuk menghapuskan haiwan perosak di ladang.
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Populasi burung hantu mendiami setiap sarang sentiasa dikemas kini tiga bulan sekali dan tugas berkenaan dibuat Inspektor Kualiti Ladang (EQI) atau lebih dikenali sebagai mandur.

Mohamad Khafiz Zainal, antara mandur ditugaskan bagi menjalankan kerja bancian termasuk membuat pemeriksaan dan membersihkan sarang di Ladang FELDA Global Ventures Plantations Malaysia (FGVPM) FELDA Palong 18.

Menurutnya, kerja sampingan dilakukan membolehkan dia mempelajari selok-belok mengenai burung hantu yang tidak pernah diketahuinya.

Katanya, bancian serta kerja sampingan lain perlu dilakukan berikutan burung hantu tidak suka tinggal di sarang yang kotor dan dipenuhi sampah biarpun sisa najis mereka sendiri.

Mohamad Khafiz berkata, sebelum membuat kerja berkenaan, langkah keselamatan perlu diambil antaranya memastikan sarang tidak menjadi tempat kediaman haiwan berbisa lain.

“Sebelum memanjat tiang sarang, ia diketuk terlebih dahulu bagi mendapat tindak balas burung yang tinggal dalam sarang dan kebiasaan burung akan berbunyi dengan suara berdesir seperti ular.

“Jika di dalam sarang dihuni kumpulan keluarga burung, si jantan yang bertindak sebagai ketua akan keluar terlebih dahulu meninjau apa yang berlaku manakala si ibu berada di sarang menjaga anaknya. Jika itu berlaku sarang dalam keadaan selamat,” katanya.

Menurutnya, tanda diceroboh seperti serpihan kulit telur antara kesan membuktikan sarang burung hantu diceroboh pemangsa lain terutama ular tedung.

Namun, menurutnya ular berkenaan tidak akan menjadikan sarang berkenaan sebagai tempat tinggal disebabkan bukan habitat semula jadi berbanding burung hantu yang gemar tinggal dalam sarang disediakan.

“Kerja membersihkan sarang diserang ular dilakukan dengan pelbagai langkah.

“Sarang kosong kebiasaannya menjadi pilihan burung hantu lain, namun ada situasi tertentu jika diceroboh, mereka tidak berminat untuk tinggal di situ,” katanya.

Menurutnya, bilangan telur dan burung dalam setiap sarang akan dibanci dan direkodkan bagi mengetahui jika ada berlaku peningkatan jumlah bagi setiap sarang yang ada.

Katanya, selepas itu barulah kerja pembersihan dibuat dan mandur akan dibantu pekerja am bagi membersihkan sarang dengan membuang segala kekotoran seperti najis dan sisa makanan.

Mohammad Khafiz yang sudah 10 tahun bekerja sebagai mandur berkata, tugas sebagai pembanci menyebabkan dia memahami tabiat dan kelakuan burung berkenaan.

“Burung hantu tidak sosial dan bukan jenis burung yang suka berkawan. Waktu siang dihabiskan dengan tidur dalam sarang bersama keluarga dan hanya keluar mencari makan pada sebelah malam.

“Mereka juga tidak suka berebut kawasan, malah tidak minat bergaduh berebut makanan apabila bertembung dalam kawasan milik kawanan burung hantu lain,” katanya.

Katanya, dia seronok menjalankan kerja sampingan bagi memastikan burung hantu dapat membiak dengan sempurna di dalam kawasan ladang, malah turut merawat burung hantu yang sakit atau cedera atas pelbagai faktor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:35 AM