ULAR sawa yang ditangkap bersama 90 telurnya. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
ULAR sawa yang ditangkap bersama 90 telurnya. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
Mohd Hafizee Mohd Arop


Teluk Intan: Ular sawa dianggarkan sepanjang empat meter dan seberat kira-kira 100 kilogram (Kg) ditangkap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Teluk Intan di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kerang, Mukim Durian Sebatang, Teluk Intan, 9.20 pagi tadi.

Kehadiran reptilia itu bersama 90 telurnya di dalam lubang di bawah pokok nibong itu disedari orang awam sebelum menghubungi JPAM.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.20 pagi sebelum seorang pegawai bersama tiga anggota bergegas ke lokasi dan tiba 15 minit kemudian.

Menurutnya, mereka mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membawa keluar reptilia itu dari sarangnya dan menangkap reptilia itu yang pada mulanya tidak bertindak agresif sebelum agresif selepas dipisahkan dari telurnya.

"Anggota kami menggunakan penyepit dan penjerut untuk menangkap ular berkenaan sebelum dibawa pulang ke pejabat JPAM Teluk Intan untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 1:49 PM