ANTARA telur ular berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA telur ular berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang menangkap tiga ular tedung bersama 30 telur reptilia berkenaan sebuah rumah di Kampung Rambai, di Pendang, semalam.

Ular tedung senduk itu ditemui di dalam lubang di bahagian tepi dinding luar rumah itu yang dipercayai menjadi sarang reptilia itu.

Dalam kejadian jam 12.40 petang itu, kejadian itu disedari penduduk yang kemudian menghubungi bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.18 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Nazri Kasa tiba di lokasi jam 12.59 tengah hari.

“Anggotanya disertai enam anggota bersama dua jentera tiba di lokasi untuk membantu menangkap ular tedung senduk berkenaan.

“Setibanya di lokasi anggotanya mendapati terdapat tiga ular berada di dalam lubang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota bomba menangkap tiga ekor ular berkenaan dengan menggunakan penjerut.

Beliau berkata, anggotanya juga berhadapan dengan bahaya apabila ular berkenaan bertindak agresif.

Bagaimanapun katanya, ia berjaya ditangkap dan dilepaskan di tempat yang selamat.

“Ular mencari peluang ketika cuaca panas untuk bertelur dan mencari tempat perlindungan untuk berbuat demikian.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati jika ternampak ular sama ada jenis berbisa atau tidak, ketika cuaca panas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 8:59 AM