ANGGOTA polis dibantu tentera memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ANGGOTA polis dibantu tentera memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 639 individu ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 634 individu dikompaun, manakala empat individu direman dan seorang lagi dijamin.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP dilakukan mereka termasuk penjarakan fizikal (228), tidak memakai pelitup muka (209), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri ( 106), aktiviti pusat hiburan (15), dan lain-lain (81).

"Pasukan Khas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut melakukan 5,445 pemeriksaan, semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Pada masa sama, sebanyak 3,683 pasar raya, 5,011 restoran, 1,520 penjaja, 1,260 kilang, 3,426 bank, 621 pejabat kerajaan, 895 terminal pengangkutan darat, 219 terminal pengangkutan air serta 56 terminal pengangkutan udara turut dipantau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa berjaya menahan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) selain merampas dua bot serta tiga kenderaan darat menerusi Operasi Benteng, semalam.

"Sebanyak 300 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam membabitkan PDRM (226 SJR), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (65 SJR) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) (9 SJR).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 6:05 PM