Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PENOREH getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini, atas tuduhan mencabul anak saudara perempuannya, 9, di rumah di Arau, Julai lalu.

Tertuduh berusia 57 tahun membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal itu di rumah Arau, pada 2 petang, 26 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan yang membawa maksud seksual dengan meminta kanak-kanak itu menunjukkan bahagian kemaluan supaya boleh dilihat orang lain di rumah sama pada 12 tengah hari, 31 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(a)(2) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 atau keduanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Ahmad.

Mohd Izham dalam pendakwaannya meminta mahkamah agar meletakkan jaminan yang tinggi dengan seorang penjamin sekiranya tertuduh dibenarkan diikat jamin berikutan tertuduh dan mangsa tinggal berjiran.

Manakala Siti Hajar memohon agar diberikan jaminan yang rendah berikutan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap dan isterinya tidak bekerja selain mempunyai penyakit tekanan darah rendah serta masih menanggung dua daripada tiga orang anaknya.

Ainul Shahrin kemudiannya memutuskan tertuduh tidak boleh diikat jamin dan menetapkan 9 September depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan polismenahan penoreh getah selepas dia memuat naik gambar anak saudara perempuannya tanpa pakaian dalam status WhatsApp selepas mencabul mangsa, minggu lalu.

PENOREH getah (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
PENOREH getah (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Berita berkaitan:

  • Kantoi letak gambar anak saudara bogel di WhatsApp
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 11:21 AM