Aizat Sharif


Kangar: Juruteknik teknologi maklumat (IT) dipenjara tiga tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap remaja dan kanak-kanak di Padang Besar pada September lalu dan bulan ini.

Tertuduh, Razman Ramli, 36, yang berasal Kangar mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memberi ugutan untuk menyebarkan gambar pornografi seorang remaja berusia 14 tahun menggunakan panggilan video aplikasi Whatsapp di sebuah kediaman di Jalan Kaki Bukit, Kangar, Padang Besar pada jam 8 malam 19 September hingga jam 9.30 malam 24 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa berkomunikasi secara seksual dengan remaja yang sama di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Pertuduhan ketiga pula, Razman didakwa memiliki pornografi kanak-kanak dalam dua cakera keras di sebuah kawasan kebun getah di Kampung Titi Tinggi, Padang Besar pada 25 Oktober lalu jam 10.30 pagi.

TERTUDUH dibawa ke kamar Mahkamah Sesyen Kangar sambil diiringi polis. FOTO Aizat Sharif
TERTUDUH dibawa ke kamar Mahkamah Sesyen Kangar sambil diiringi polis. FOTO Aizat Sharif

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(b), 11(1)(a) dan Seksyen 10 Akta Seksual Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan bagi pertuduhan pertama, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh boleh dipenjara sehingga tiga tahun.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd Yatim manakala tertuduh diwakili peguam Azira Aziz dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Norshuhada memohon mahkamah supaya memberikan satu hukuman yang berat dengan kesalahan dilakukan disebabkan ia membabitkan jenayah seksual mengikut Akta Kanak-Kanak 2007.

Selain cara kesalahan dilakukan tertuduh juga adalah serius kerana menyamar sebagai pemilik sebuah butik pengantin yang kononnya menawarkan peluang menjadi model pakaian dengan bayaran sebanyak RM4,000.

Malah, tertuduh juga pada mulanya hanya sekadar meminta gambar remaja berkenaan sebelum meneruskan permintaan untuk gambar bogel di mana mangsa ketika itu menyangka tertuduh adalah wanita selepas dikenali dengan satu identiti wanita.

Sementara itu, Azira merayu agar anak guamnya dapat diberikan hukuman yang ringan memandangkan keadaannya yang harus menanggung keluarga.

Azira dalam rayuannya memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya itu mempunyai anak berusia empat tahun serta isteri yang sarat mengandung dengan usia kandungan memasuki lapan bulan.

Selain itu, tertuduh juga perlu menjaga ibunya yang tua dengan pendapatan sekitar RM1,200.

Mahkamah kemudian menjatuhkan Razman hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama dan dua tahun bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Kesemua hukuman berjalan serentak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 1:37 PM