Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PESAWAH didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini, atas pertuduhan mendera bayi lelakinya yang berusia dua bulan 20 hari, 18 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh berusia 39 tahun didakwa mendera anaknya di sebuah rumah di Taman Pauh Indah, Arau.

Tertuduh yang juga bapa kepada lima anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun bersama denda maksimum RM50,000.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Diyana Ab Shukor.

Mohd Izham dalam pendakwaannya meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dibimbangi tertuduh mempunyai kecenderungan mengulangi perbuatannya.

Bagaimanapun Nur Diyana dalam pembelaannya memohon agar tertuduh ditawarkan jaminan berikutan dia masih mempunyai empat lagi anak bersama isterinya yang terdahulu yang perlu ditanggung selain tertuduh mendakwa tidak sengaja melakukan perbuatan berkenaan.

Ainul Shahrin kemudian memutuskan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 23 Julai.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pesawah ditahan polis selepas didakwa menyembur racun serangga dan menampar muka serta melambung bayi lelakinya.

PESAWAH dihadapkan Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas tuduhan mendera bayi lelakinya yang berusia dua bulan. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
PESAWAH dihadapkan Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas tuduhan mendera bayi lelakinya yang berusia dua bulan. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 11:53 AM