Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Lelaki warga China diarahkan membayar denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menawarkan suapan kepada pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar, 12 Ogos lalu.

Tertuduh, Huang Hong Ming, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suapan bernilai AS$3,069 (RM12,869) dan dua jam tangan mewah kepada pegawai PGA berpangkat Asisten Superintendan.

Tindakan itu dilakukan sebagai balasan agar pegawai terbabit tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh yang ketika itu didapati melakukan kesalahan masuk ke negara ini tanpa melalui pos yang ditetapkan Jabatan Imigresen dengan memiliki dua passport warganegara China milik Zhou Chou Fan dan Xiang Wen Qiang.

Kesemua kesalahan itu dilakukan pada 3.30 petang, 12 Ogos lalu di Pos BKC 7 PGA di dalam daerah Padang Besar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara seperempat daripada tempoh yang diperuntukkan iaitu lima tahun atau denda atau keduanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Chang Kai Ping.

Sew Ping dalam pendakwaannya meminta mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius iaitu rasuah dan hukuman adalah sebagai pengajaran terhadapnya dan masyarakat.

Bagaimanapun, Kai Ping dalam pembelaannya memohon agar dia diberikan hukuman denda sahaja tanpa dipenjarakan berikutan tertuduh memiliki passport dan visa yang sah ketika kesalahan itu dilakukan selain tertuduh memberikan kerjasama sepanjang dia ditahan polis dan SPRM.

TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh didenda sebanyak RM20,000 dan sekiranya gagal membayarnya dia akan dikenakan penjara selama lima bulan.

Mahkamah turut mengarahkan barangan bukti milik tertuduh di dalam pendakwaan dilucutkan hak dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 1:34 PM