Dziyaul Afnan Abdul Rahman


DUA buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini, atas pertuduhan menghalang dan mencederakan anggota polis yang cuba menahan mereka, Isnin lalu.

Tertuduh, Muhammad Akmal Saberi, 22, dan Mohd Amirul Izzat Jafri, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan yang dibaca secara bersama, kedua-dua tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang tugas pegawai dan anggota polis di Tambun Tulang pada 1.45 tengah hari, 22 Jun lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda sehingga RM10,000 atau keduanya sekali.

Bagi pertuduhan berasingan ke atas Muhammad Akmal, dia dituduh menyebabkan kecederaan ke atas koperal polis yang ketika itu sedang menjalankan tugas pada masa dan tarikh sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan dikenakan denda mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan.

DUA buruh di Mahkamah Sesyen Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
DUA buruh di Mahkamah Sesyen Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hapiz Rajali.

Ainul Shahrin memutuskan Muhammad Akmal dibenarkan diikat jamin sebanyak RM13,000 dan RM9,000 bagi Mohd Amirul Izzat dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 28 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di mahkamah sama kedua tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan memiliki 2.81 gram syabu dan Ainul Shahrin menetapkan 18 September depan bagi penjatuhan hukuman selepas menerima laporan kimia.

Bagi pertuduhan itu, kedua mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000 atau keduanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 1:13 PM