Lelaki warga emas (tengah) yang hilang ketika mendaki di Gunung Korbu petang kelmarin ditemui selamat jam 2.30 petang hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Lelaki warga emas (tengah) yang hilang ketika mendaki di Gunung Korbu petang kelmarin ditemui selamat jam 2.30 petang hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Balqis Jazimah Zahari


LELAKI warga emas yang hilang ketika mendaki di Gunung Korbu petang kelmarin, ditemui selamat oleh Orang Asli, jam 2.30 petang hari ini.

Tee Kong Tiong, 68, ditemui oleh lelaki Orang Asli yang sedang mencari bahan mentah untuk tujuan rawatan perubatan tradisional.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, lelaki itu ditemui di Kampung Gajah, kira-kira lima kilometer daripada laluan sebenar Gunung Korbu.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke pusat kawalan tempat kejadian dan terus berjumpa dengan petugas," katanya.

A Asmadi berkata, mangsa di bawa ke klinik berhampiran untuk rawatan.

A Asmadi turut berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), renjer perhutanan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) Perak dan orang awam yang banyak membantu.

"Saya menasihati orang ramai yang mahu melakukan aktiviti pendakian supaya mendapatkan permit daripada renjer perhutanan dan melaporkan diri di balai polis berhampiran.

"Ia bagi memudahkan semua urusan sekiranya timbul masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 6:13 PM