Nor Fazlina Abdul Rahim


PILIHAN Raya Sabah yang membabitkan 60 Dewan Undangan Negeri (DUN) menelan kos lebih besar dan berganda daripada kebiasaan, berikutan pasca Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peruntukan bertambah berikutan pelbagai langkah perlu diambil bagi memastikan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, berapa banyak peruntukan itu akan ditentukan selepas mesyuarat diadakan dalam masa terdekat.

"Pilihan Raya pasca Covid-19 semestinya babitkan peruntukan lebih tinggi. Salah satu contoh dakwat celup tidak boleh digunakan seperti biasa dan perlu menyediakan dengan jumlah yang banyak.

"Pada masa sama, proses sanitasi, menyediakan tempat penjarakan dan semestinya proses mengambil masa lama yang sekali gus membabitkan elaun turut bertambah.

"Jika dulu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), membabitkan kos RM500 juta, sekiranya PRU dilakukan sekarang, ianya akan menelan kos lebih RM1 bilion. Itu gambaran yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas majlis pengagihan daging korban di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas, Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.

Mengulas lanjut katanya, PRN di Sabah akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN dimaklumkan kepda SPR.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membincangkan bagaimana kaedah pelaksanaan pilihan raya di Sabah mengikut SOP.

TAKIYUDDIN ketika ditemui  selepas agihan daging korban. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAKIYUDDIN ketika ditemui selepas agihan daging korban. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Saya percaya walaupun ada sedikit pengalaman dalam PRK Chini, namun ia tidak boleh disamakan dengan PRN Sabah kerana babitkan 60 DUN. Kita tidak mahu ada kluster baharu sekiranya ia tidak dilaksanakan mengikut kaedah betul.

SPR menerima pemakluman rasmi daripada DUN Sabah semalam, berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 2:54 PM