LEMBU yang hilang ditemui di kawasan semak di Bukit Chekati. FOTO Ramli Ibrahim
LEMBU yang hilang ditemui di kawasan semak di Bukit Chekati. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


PENTERNAK nyaris kerugian RM4,000 apabila lembu jantan yang hendak dikorbankan hari ini hilang, malam tadi.

Bagaimanapun, lembu yang terlepas daripada ikatan di Kampung Kolam Emas, dekat Gua Musang itu ditemui semula di kawasan semak di Bukit Chekati, jam 7 pagi ini.

Pemiliknya, Hafizi Ramli, 31, berkata, lembu itu yang ditempah tujuh orang untuk dikorbankan pada Aidiladha hilang jam 7 malam.

Katanya, lembu itu dipercayai terlepas tali ikatan di tiang pagar berhampiran rumahnya sebelum gerakan mencari dilakukan penduduk.

Dia berkata, beberapa penduduk terpaksa dikerah mengesan lembu terbabit kerana bimbang tempahan korban dibatalkan.

"Syukur Alhamdulillah, lembu itu dijumpai semula berada di semak dekat Bukit Chekati," katanya hari ini.

Hafizi berkata, dia bersama penduduk yang cuba menangkap haiwan itu nyaris ditanduk.

Katanya, bagi menjaga keselamatan, penyembelihan korban dilakukan di lokasi kira-kira jam 10 pagi ini.

Dia berkata, belum pernah berlaku lembu yang ganas seperti itu dalam beberapa ibadat korban sebelum ini.

"Lembu itu turut berenang Sungai Galas ke kampung seberang sebelum ditemui di semak dekat Bukit Chekati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 12:40 PM