Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) akan berpindah dan beroperasi sepenuhnya di Kompleks Rawatan dan Pemulihan di Cinta Manis, Bentong, Pahang bulan depan.

Presidennya, Hafizi Harun berkata, pihaknya sangat memerlukan dana untuk melengkapkan kompleks berkenaan yang akan dinamakan sebagai Kompleks Pengasih Cinta Manis.

Menurutnya, proses pemindahan tetap dilakukan biarpun fasiliti di kompleks terbabit belum lengkap sepenuhnya tanpa pembangunan klinik dan dewan serbaguna.

"Kami akan memindahkan kira-kira 70 orang termasuk 50 klien dari Rumah Pengasih di Kuala Lumpur yang sudah 30 tahun beroperasi ke kompleks berkenaan yang baru 60 peratus siap.

"Kami memerlukan bantuan dana untuk melengkapkan fasiliti di Cinta Manis yang masih tiada klinik dan dewan serbanguna untuk kegunaan serta rawatan klien kami.

"Selain itu kami juga memerlukan bantuan untuk perabot dan kelengkapan dapur," katanya ditemui pada pameran jualan amal lukisan Pengasih di Rumah Damai, di sini, hari ini.

Pameran berkenaan menampilkan 20 lukisan hasil karya Datuk Misah yang bertemakan 'Kemunculan' dan 50 peratus daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada Pengasih.

Hafizi berkata, tanah sedia ada akan diambil alih oleh pihak berkenaan untuk pembangunan dan mereka diberi tanah kompleks Cinta Manis serta dana untuk pembinaan lokaliti berkenaan, namun ia masih memerlukan dana tambahan.

"Buat masa ini fasiliti yang ada adalah kuarters penginapan, dorm untuk klien, pejabat dan bilik rawatan. Pembinaan dua bangunan lagi tertangguh sejak 2019 dan kemudian negara dilanda pandemik Covid-19 membuatkan ia terus tertangguh.

"Kami memerlukan dana tambahan kira-kira RM200,000 hingga RM300,000 termasuk untuk kos perpindahan dan kos lain. Kami berharap orang ramai sudi membantu selain turut digalakkan menjadi sukarelawan Pengasih," katanya.

Katanya, pemindahan lokasi itu juga mempunyai kebaikannya kerana mereka sudah terlalu lama di Bukit Tunku, Kuala Lumpur dan fasiliti di lokasi itu juga sudah sangat usang serta sudah kurang kondusif untuk rawatan pemulihan.

"Sejak penubuhan Rumah Pengasih pada 1993 kami membantu hampir 2,000 klien dan berharap dengan berpindah ke lokasi baru ini dapat meningkatkan perkhidmatan kami sekali gus dapat membantu lebih ramai orang memerlukan," katanya.

HAFIZI (empat kanan) bersama dengan pelukis Datuk Misah (tiga kanan) pada jualan amal lukisan Pengasih di Rumah Damai. FOTO Saifullizan Tamadi
HAFIZI (empat kanan) bersama dengan pelukis Datuk Misah (tiga kanan) pada jualan amal lukisan Pengasih di Rumah Damai. FOTO Saifullizan Tamadi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 7:04 PM