Penduduk Taman Permatang  Sintok  berusaha menangkap semula lembu yang terlepas.
Penduduk Taman Permatang Sintok berusaha menangkap semula lembu yang terlepas.

Kepala Batas: “Sudah tiga tahun berturut-turut lembu korban terlepas termasuk hari ini (semalam), namun kami bernasib baik kerana ia dapat ditangkap semula,” kata Pengerusi Rukun Tetangga Taman Permatang Sintok Mohd Fauzi Mohamad, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, lembu jantan untuk majlis korban diikat pada pokok terlepas sebelum berlari di tengah jalan raya menghala pekan ini.

Mohd Fauzi berkata, lembu itu dipercayai terkejut sebaik dikelilingi penduduk yang mahu melihat ia disembelih lalu meronta menyebabkan tali terputus.

“Kehadiran ramai kanak-kanak yang mahu melihat dengan dekat mungkin menyebabkan ia panik dan meronta hingga tali digunakan untuk menambatnya pada pokok terputus.

“Lembu itu berlari ke jalan raya menghala pekan menyebabkan penduduk terpaksa mengejar,” katanya.

Menurutnya, lembu itu nyaris melanggar kereta dari arah Kepala Batas ketika dikejar lebih 20 penduduk sebelum memasuki kawasan pekarangan premis menjual kereta terpakai 500 meter dari taman terbabit.

“Seorang penduduk memasukkan semula tali ke leher lembu lalu menambatnya pada tiang elektrik sementara menunggu lori untuk membawanya pulang ke taman,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, dua tahun sebelum ini kejadian sama berlaku, tetapi lembu terlepas ditangkap semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:32 AM