Lembu korban melarikan diri sejauh 10 kilometer daripada Kampung Kubang Golok ke Kampung Pengkalan Petah,ketika acara sembelihan sempena Hari Raya Aidiladha,hari ini. FOTO / Ihsan pembaca
Lembu korban melarikan diri sejauh 10 kilometer daripada Kampung Kubang Golok ke Kampung Pengkalan Petah,ketika acara sembelihan sempena Hari Raya Aidiladha,hari ini. FOTO / Ihsan pembaca
Nor Amalina Alias


IBADAT korban di Kampung Kubang Golok, Bachok hari ini bertukar kecoh apabila penduduk terpaksa mengejar lembu yang terlepas, lebih dua jam selepas tali pengikat putus.

Lembu itu lolos hingga ke Kampung Pengkalan Petah yang jaraknya 10 kilometer dari lokasi penyembelihan.

Penduduk kampung, Ekram Rohakimi Abdul Halim, 27, berkata, lembu betina seberat 400 kilogram itu dibeli dari Perak untuk dijadikan korban dirinya dan ahli keluarga.

"Sepatutnya kami mulakan acara korban pada 2.30 petang, tiba-tiba lembu jadi agresif menyebabkan tali pengikat putus.

"Ahli keluarga terpaksa mengejar ia lebih dua jam sebelum berjaya ditangkap sekali gus dikorbankan pada 5 petang," katanya.

Ekram Rohakimi berkata, disebabkan ternakan itu sukar ditenangkan, Imam Surau Kubang Golok yang menjadi penyembelih dikenali Pak Din, 60, mencadangkan ia disembelih di tepi jalan.

"Kami mengikat lembu pada sebuah lori dan berjaya melaksanakan korban," katanya.

Menurutnya, kejadian itu mencuit hati mereka sekeluarga dan akan menjadi kenangan yang takkan dilupakan.

Insiden itu juga pertama kali dilihat di hadapan matanya dan sangat bersyukur kerana akhirnya ibadat mereka sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 9:06 PM