ZAFRUL (gambar arkib). FOTO Munira Abdul Ghani
ZAFRUL (gambar arkib). FOTO Munira Abdul Ghani
Syarifah Dayana Syed Bakri


LANGKAH kerajaan memperkenalkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar bertujuan untuk mengelak keadaan lebih buruk kepada peminjam yang menghadapi kekangan kewangan berterusan apabila berakhirnya moratorium secara am pada 30 September ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan sedar bahawa usaha pemulihan dan pembangunan ekonomi masih di tahap awal.

"Masih ada rakyat dan perniagaan yang memerlukan sokongan tambahan untuk bangun semula.

"Dalam keadaan yang tidak pernah kita alami sebelum ini, kerajaan juga ingin mengelakkan satu keadaan yang mana peminjam menghadapi kekangan kewangan berterusan apabila berakhirnya moratorium pada 30 September nanti," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, bagi mereka yang mampu, bayaran balik pinjaman perlu diteruskan mulai 1 Oktober bagi memastikan kitaran modal yang mampan untuk memulih dan menjana semula pertumbuhan ekonomi negara.

"Kementerian mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar bagi peminjam yang benar-benar memerlukannya.

"Kerjasama berterusan antara kerajaan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan sektor perbankan ini diharap akan menjamin kesejahteraan peminjam dan meneruskan pemulihan ekonomi yang masih sedang berputik," katanya.

Berita berkaitan

Moratorium, bantuan bank bersasar dilanjutkan 3 bulan - Muhyiddin

Mohon lanjutan moratorium mulai 7 Ogos

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 4:18 PM