Kebakaran yang memusnahkan satu unit kediaman Aba Othman sekeluarga di Kampung Labau Kelulit, pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Kebakaran yang memusnahkan satu unit kediaman Aba Othman sekeluarga di Kampung Labau Kelulit, pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


SEBELAS sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Labau Kelulit, Miri, musnah terbakar, awal pagi hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian, kesemua penghuni kediaman milik pasangan Aba Othman, 58, dan Kamariah Ahmad, 48, tiada di rumah ketika itu kerana ada yang keluar ke kebun, selain ada yang ke sekolah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Francis Aceh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada 7.40 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari BBP Miri bergerak ke lokasi yang terletak 18 kilometer dari bandar raya Miri sejurus menerima panggilan dan tiba di pada 8 pagi.

"Kami mengambil masa lebih dua jam memadam kebakaran dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada 10.35 pagi.

"Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan. Kesemua mangsa kini menetap sementara di rumah saudara mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 4:19 PM