ANGGOTA bomba menangkap anak buaya yang menceroboh reban ayam. FOTO JBPM
ANGGOTA bomba menangkap anak buaya yang menceroboh reban ayam. FOTO JBPM
Mohd Roji Kawi


PENDUDUK Kampung Iran, di Batu Niah, Miri, gempar selepas anak buaya ditemui di dalam reban ayam milik salah seorang penduduk, pagi tadi.

Reptilia itu dipercayai memasuki reban berkenaan ketika banjir melanda kampung itu sejak semalam.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

"Ketika anggota bomba tiba, kampung berkenaan masih digenangi air banjir yang berlaku selepas hujan lebat kelmarin.

"Anggota kami yang dibawa ke reban ayam itu mendapati seekor anak buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter berada di dalamnya," katanya.

Beliau berkata, anggota kemudian berjaya menangkap reptilia itu menggunakan penjerut dan membawanya balik ke balai untuk tindakan lanjut.

Mengenai BBP Batu Niah, Ling Hii berkata, balai berkenaan adalah yang terbaharu di Sarawak dan mula beroperasi pada 1 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 10:56 AM