BALAK yang dikumpul di tanah milik persendirian. FOTO ihsan JPNK
BALAK yang dikumpul di tanah milik persendirian. FOTO ihsan JPNK
Noorazura Abdul Rahman


JABATAN Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) berjaya melumpuhkan aktiviti pembalakan haram dengan nilai lebih RM100,000 selepas menahan seorang lelaki di kompartmen 50, Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, semalam.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan pada 4.45 petang semalam hasil maklumat awam dan risikan selepas aktiviti itu dipercayai dilakukan tiga hari lalu.

“Pada mulanya pasukan penguat kuasa menemui longgokan kayu di kawasan tanah perseorangan namun semakan lanjut mendapati terdapat laluan masuk ke Hutan Simpanan Kekal berhampiran tanah berkenaan.

“Kesan laluan masuk itu agak baru dan JPNK menjumpai 10 tunggul dan empat batang balak yang belum sempat dibawa keluar dari hutan terbabit selain sebuah jengkaut jenis Hitachi dan lori jenis Mitsubishi.

“Semasa penggeledahan dan operasi sita di kawasan berkenaan, lelaki terbabit datang mengaku semua jentera itu miliknya sebelum anggota jabatan bertindak menahan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan berkata, modus operandi suspek adalah menjadikan tanah milik perseorangan berhampiran Hutan Simpanan Kekal sebagai tempat mengumpul kayu balak bagi mengaburi mata penguat kuasa terhadap kegiatan haram yang dijalankan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit tidak melakukan kegiatan itu secara bersendirian dan dia dipercayai mengupah pekerja untuk menebang sebelum mengangkut balak untuk dijual.

“Dalam operasi ini, JPNK merampas 48 tual balak pelbagai jenis yang disimpan di tanah perseorangan antaranya jenis meranti, tembaga, meranti sarang punai, keledang, medang dan sesenduk.

“Pihak jabatan amat komited dan memandang serius terhadap aktiviti kesalahan hutan dan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan salah laku berkaitan perhutanan dapat dibendung.

“Sehubungan itu, JPNK amat berterima kasih kepada orang awam yang memberi maklumat dan mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak bagi menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti kesalahan hutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 11:07 AM