Mohd Rafi Mamat

Bera: Satu sindiket menggunakan helah 280 tual balak pelbagai spesies bernilai RM112,000 yang dicuri dalam Hutan Simpan Chini dengan balak berlesen di pusat pengumpulan (matau), bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, percubaan itu berjaya dikesan anggota Unit Tugas Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh/Bera yang menyerbu lokasi kegiatan didalangi beberapa individu warga tempatan itu.

Pegawai PHD Temerloh/Bera, Azmi Abdul Rahman berkata, selepas mendapat maklumat seramai 14 anggota Unit Tugas Khas PHD Temerloh/Bera diketuai Penolong Pegawai Hutan Daerah Temerloh/Bera, Mohd Faizul Ibrahim menyerbu kawasan Kompatmen 132 Hutan Simpan Chini pada 10 malam kelmarin.

Menurutnya, sindiket terbabit menyekat dua laluan utama untuk ke lokasi dengan meletakkan jentera, membina parit dan membuat halangan dengan timbunan dahan pokok.

"Pemeriksaan di dalam Kompatmen 132 Hutan Simpan Chini menemui 70 tunggul pokok balak pelbagai spesies seperti merantai, merawan, kempas, jelutong, mengkulang, keruing, keranji, sesuduk, ludai, kelat dan kedondong.

"Setiap pokok menghasilkan antara tiga hingga empat tual balak dan siasatan mendapati sindiket terbabit menceroboh Hutan Simpan Chini, menebang dan memindahkan balak ke pusat pengumpulan dalam masa dua hari sebelum kegiatan mereka dikesan.

"Mereka cuba memindahkan balak secara serentak menggunakan lebih 10 lori pada malam kelmarin, namun tidak berjaya apabila dihalang anggota unit tugas khas," katanya dihubungi, hari ini.

ANGGOTA Tugas Khas mengambil maklumat balak curi di Hutan Simpan Chini. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA Tugas Khas mengambil maklumat balak curi di Hutan Simpan Chini. FOTO Mohd Rafi Mamat

Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah jentera pengangkat balak, jentolak, jengkaut dan dua lori yang kini ditempatkan di stor penyimpanan barangan kes Pejabat Ladang Kemasul, Mentakab.

Menurutnya, usaha mengesan dalang kegiatan itu sedang dilakukan dan pihak yang melakukan kesalahan itu akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

"Nilai cukai 280 tual balak itu dianggarkan RM9,100 dan tindakan seterusnya adalah mengesan dan mengasingkan balak dicuri itu dengan memadankan pada tunggul pokok terdapat di Kompatmen 132 Hutan Simpan Chini.

"Proses berkenaan mengambil masa agak panjang, namun kami tetap berusaha melakukan yang terbaik dalam memastikan kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin dam seterusnya kayu yang dirampas itu akan dilelong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 5:09 PM