PIHAK berkuasa ketika menjalankan pemantauan Op Pematuhan SOP-PKPP di premis sekitar Kepala Batas dan Mak Mandin, semalam. FOTO IHSAN POLIS
PIHAK berkuasa ketika menjalankan pemantauan Op Pematuhan SOP-PKPP di premis sekitar Kepala Batas dan Mak Mandin, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Zuhainy Zulkiffli


TUJUH lelaki menjalankan aktiviti jualan langsung di Kepala Batas antara sembilan individu dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan, malam tadi.

Malah, mereka didapati tidak mendapatkan kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menjalankan aktiviti itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka dikenakan kompaun oleh anggota polis yang menjalankan pemantauan menerusi Op Pematuhan SOP-PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) pada 10 malam tadi.

Beliau berkata, pemantauan dilakukan di dua lokasi tumpuan di sekitar Kepala Batas dan Mak Mandin.

"Manakala di Mak Mandin pula, kompaun turut dikeluarkan kepada seorang lelaki dan wanita di premis masing-masing.

"Ia berikutan mereka tidak mematuhi SOP PKPP tertakluk kepada Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020," katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya turut menjalankan operasi bersama anggota dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di tiga lokasi sekitar Mak Mandin, Butterworth dan Sungai Dua.

Beliau berkata, tujuh lagi kompaun pelbagai kesalahan dikeluarkan termasuk agensi terbabit.

"Sebanyak tiga premis di Mak Mandin dan empat di Sungai Dua diarah tutup serta-merta sehingga 1 Ogos depan oleh KKM.

"Beberapa premis berkenaan turut dikompaun oleh MBSP mengikut Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 kerana menumpahkan cecair di longkang dan parit awam.

"Sebanyak tujuh kesalahan dikenal pasti di premis berkenaan antaranya ialah tidak menyediakan buku daftar masuk pelanggan, tiada rekod suhu pekerja, tiada tanda garisan penjarakan sosial dan lain-lain lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 2:40 PM