NOORZAINY (dua dari kiri) memeriksa surat kebenaran beroperasi MITI ketika melakukan pemeriksaan di sebuah kilang plastik di Mak Mandin, hari ini. FOTO Danial Saad.
NOORZAINY (dua dari kiri) memeriksa surat kebenaran beroperasi MITI ketika melakukan pemeriksaan di sebuah kilang plastik di Mak Mandin, hari ini. FOTO Danial Saad.
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tidak memastikan pekerja memakai pelitup muka ketika bekerja dan mendaftar kemasukan menerusi MySejahtera menyebabkan sebuah kilang pembuatan dan syarikat logistik di Mak Mandin, di sini masing-masing dikenakan kompaun RM10,000.

Tindakan diambil dalam operasi pemantauan Covid-19 pada 10 pagi, hari ini yang dijalankan secara bersepadu antara polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tiga kilang dan syarikat logistik diperiksa dalam operasi itu bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Namun masih ada yang ingkar, menunjukkan sikap sambil lewa walaupun hampir sebulan PKP 3.0 dilaksana, apatah lagi memakai pelitup muka dan mengimbas kod QR MySejahtera bukan perkara baharu tetapi sudah jadi norma kehidupan kita.

"Disebabkan pengabaian SOP itu kilang dan syarikat dikompaun, manakala empat pekerja masing-masing dikenakan kompaun RM1,500 seorang," katanya yang ditemui selepas operasi.

Menurutnya, pihaknya tidak berkompromi dengan mereka yang ingkar arahan dan akan terus mengadakan operasi di kawasan perindustrian yang menjadi tumpuan ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 3:47 PM