AKTIVITI urus niaga tanpa mematuhi SOP di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, menyebabkan sekumpulan lelaki terdiri daripada peraih dan penjual ditaha. FOTO ihsan PDRM
AKTIVITI urus niaga tanpa mematuhi SOP di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, menyebabkan sekumpulan lelaki terdiri daripada peraih dan penjual ditaha. FOTO ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


AKIBAT tidak menghiraukan amaran menyebabkan sekumpulan peraih dan penjual di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas ditahan polis, semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam pemeriksaan 12.30 tengah hari, seramai 21 lelaki berusia 19 hingga 54 tahun itu dilihat melakukan urus niaga tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihak polis memberi tiga kali amaran dan nasihat, namun didapati mereka tetap berdegil.

"Berikutan itu, polis bertindak menahan kesemua mereka untuk tindakan lanjut sebelum tindakan kompaun dikeluarkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, polis turut menahan tujuh lelaki berusia 30 hingga 54 tahun kerana berhimpun di sebuah gerai di Mak Mandin, Butterworth, semalam.

"Tangkapan dibuat pada 1 tengah hari apabila kesemua mereka tetap berdegil walaupun amaran diberikan sebanyak tiga kali.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah," katanya.

Menurutnya, peraih dan penjual dikompaun mengikut Peraturan 3 (Perkara 4 Jadual Aktiviti Terlarang Peraturan 2) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020

Katanya, tujuh lelaki lain pula dikompaun mengikut Peraturan 7(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 1:19 PM