MOHD Khairiel memberi nasihat kepada peniaga mengenai SOP PKPP di sekitar Bahau. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
MOHD Khairiel memberi nasihat kepada peniaga mengenai SOP PKPP di sekitar Bahau. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


TIDAK mengawal had bilangan pelanggan masuk ke premis, tiada penjarakan sosial selain gagal merekodkan nama pelanggan antara pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikenal pasti ketika operasi bersepadu pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sekitar Bahau, Jempol, hari ini.

Tinjauan juga mendapati ada peniaga tidak menyediakan buku bagi merekod dan mengambil suhu pelanggan kerana bercadang berbuat demikian pada 1 Ogos ini apabila kerajaan mula mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Dalam operasi bermula 9 pagi hingga 2 petang itu membabitkan polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Rela dan Jabatan Penerangan menjalankan pemeriksaan di pasar awam, pasar borong, pasar raya, restoran, kedai makan, kedai serbaneka dan stesen bas di sekitar Bandar Bahau.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, satu kompaun dikeluarkan kepada seorang peniaga selepas didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

"MPJL turut mengeluarkan satu kompaun kepada peniaga makanan atas kesalahan tidak memakai apron dan penutup kepala ketika mengendalikan makanan," katanya ditemui di sini.

Mohd Khairiel berkata, operasi diadakan sebagai usaha memastikan orang ramai dan peniaga mematuhi SOP bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Katanya, orang ramai turut diberi penerangan mengenai kewajipan memakai pelitup muka bermula 1 Ogos ini bagi mengelakkan dikompaun selain menjaga penjarakan sosial.

"Peniaga turut diberi teguran dan nasihat supaya mengikut SOP dengan menyediakan buku bagi merekod nama pengunjung, cecair pembasmi kuman alat pemeriksa suhu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 6:49 PM