BAZAR ramadan. FOTO arkib NSTP
BAZAR ramadan. FOTO arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Empat lokasi iaitu Dataran Bandar Seri Jempol, Pusat Perniagaan Angsana, Pekan Batu Kikir dan Pusat Perniagaan Seraya akan menjadi lokasi bazar Ramadan di Jempol, pada tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Raja Norazli Raja Nordin berkata, sebanyak 111 tapak disediakan di Dataran Bandar Seri Jempol, 40 di Pusat Perniagaan Angsana, 75 di Pekan Batu Kikir dan 45 di Pusat Perniagaan Seraya.

Beliau berkata, MPJL hanya menyediakan tapak bazar dan ia akan diuruskan penganjur yang layak dan dipilih MPJL.

"Berikutan itu penganjur berminat boleh mengemukakan kertas kerja penganjuran bazar Ramadan kepada Bahagian Pelesenan MPJL dan penganjur mestilah warganegara Malaysia.

"Penganjur berjaya dipilih perlu mengadakan sesi undian bagi tapak peniaga yang turut disaksikan pihak MPJL," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raja Norazli berkata pelan tapak bazar ditetapkan MPJL dan akan mengambil kira Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, MPJL turut menetapkan hanya peniaga dari daerah ini sahaja dibenarkan berniaga sepanjang bazar diadakan dengan kadar sewa RM200 bagi setiap tapak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 2:26 PM