ORANG ramai menggunakan perkhidmatan pandu lalu ketika mendapatkan barang keperluan di Pasar Segar Terkawal di Pasar Tani Kekal, Bandar Seri Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
ORANG ramai menggunakan perkhidmatan pandu lalu ketika mendapatkan barang keperluan di Pasar Segar Terkawal di Pasar Tani Kekal, Bandar Seri Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


PASAR Segar Terkawal (PST) diadakan secara pandu lalu di Pasar Tani Kekal, Bandar Seri Jempol, Jempol ternyata memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

PST itu diadakan setiap Selasa dan Jumaat bermula 7 April lalu berikutan hasrat kerajaan mahu membantu golongan petani dan penternak serta masyarakat setempat menjual dan membeli barang keperluan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Raja Norazli Raja Nordin berkata, berdasarkan rekod ketika PST dibuka pada Selasa lalu, sebanyak 210 kereta dan 55 motosikal menggunakan perkhidmatan pandu lalu berkenaan.

“Semalam pula, sebanyak 200 pemandu kereta dan 22 penunggang motosikal menggunakan perkhidmatan sistem pandu lalu diperkenalkan sebagai cara penjarakan sosial.

“Kami melihat biarpun pada awal ada sedikit masalah kelancaran, ia berjaya diatasi pihak berkaitan,” katanya.

Raja Norazli berkata, pelbagai barang keperluan antaranya ayam, daging, ikan, sayur, buah-buahan dan barang runcit dijual di PST beroperasi dari 9 pagi hingga 1 tengah hari itu.

Beliau berkata, hasil jualan diperoleh peniaga pada Selasa lalu berjumlah RM15,375 manakala semalam pula, RM18,924 hasil jualan diraih peniaga PST.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 5:08 PM