Kerja pembersihan dilakukan di Pasar Awam Bahau yang kini ditutup berikutan seorang peniaga disahkan Covid-19 dan orang ramai boleh mendapatkan bahan basah di Pasar Borong Bahau.
Kerja pembersihan dilakukan di Pasar Awam Bahau yang kini ditutup berikutan seorang peniaga disahkan Covid-19 dan orang ramai boleh mendapatkan bahan basah di Pasar Borong Bahau.
Abnor Hamizam Abd Manap


PENDUDUK di sekitar Bahau, Jempol, masih boleh mendapatkan bekalan bahan mentah berikutan Pasar Borong Bahau dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol, (MPJL) Raja Norazli Raja Nordin berkata, operasi pasar itu yang bermula dari 6 pagi hingga 12 tengah hari dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, kemasukan pengunjung ke dalam pasar borong itu dikawal anggota polis dan Rela bertugas, selain bergantung kepada keadaan di dalam pasar berkenaan.

"Jika terdapat kesesakan, petugas akan menghentikan kemasukan orang ramai sebelum mereka dibenarkan masuk sebaik keadaan reda.

"Bagaimanapun berdasarkan tinjauan orang ramai datang membeli barang keperluan secara berperingkat dan tidak berlaku kesesakan di pasar borong berkenaan, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raja Norazli berkata, orang ramai mahu masuk ke dalam pasar borong terlebih diambil diambil bacaan suhu badan selain perlu memakai penutup hidung dan mulut.

Beliau berkata, penjarakan sosial satu meter turut dikuatkuasakan ke atas orang ramai selain perlu mengamalkan kebersihan diri

"Kami dimaklumkan, pengurusan pasar borong ini tidak lagi berurusan dengan Pasar Borong Kuala Lumpur tetapi mendapatkan barang keperluan dari Pasar Borong Melaka," katanya.

Ditanya mengenai kebenaran masuk ke dalam pasar borong atau pasar raya di daerah ini berikutan kelonggaran keluar berdua diumumkan kerajaan, Raja Norazli berkata, pihaknya masih mengguna pakai SOP sedia ada iaitu hanya seorang sahaja dibenarkan masuk ke premis berkenaan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jempol mengumumkan Kawasan Kawalan Khas (KKK) di kawasan Pasar Awam Bahau (PAB) dan premis di sekitarnya serta menutup semua aktiviti dan pergerakan orang ramai sehingga 10 Mei ini.

Ia berikutan seorang peniaga di pasar awam itu disahkan positif Covid-19 berpunca daripada Kluster Pasar Borong Kuala Lumpur pada 24 April lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 6:16 PM