SIDANG Dewan Rakyat. FOTO Ihsan Parlimen
SIDANG Dewan Rakyat. FOTO Ihsan Parlimen
Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang senada mahu Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dibentangkan di Dewan Rakyat, segera.

Antara yang menyokong adalah Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang mendakwa sekiranya RUU itu tidak dibentang dan diluluskan segera, akan mengakibatkan defisit ketidakpercayaan rakyat terhadap sistem Parlimen dan demokrasi negara.

Beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, sekiranya RUU itu tidak dibentang dan diluluskan pada sidang Dewan Rakyat kali ini, beliau bersama rakan pembangkang lain bersama rakyat akan turun ke jalanan untuk berdemonstrasi.

"Bagi memulihkan keadaan ini dan sistem Parlimen demokrasi ini... Akta Antilompat Parti mesti disegerakan. Kalau tak ada Akta Antilompat Parti ini, sebagaimana kita nak praktikkan Parlimen demokrasi yang subur.

"Inilah yang menjadi halangan terbesar sekarang. Kalaulah akta ini tidak diperkenalkan kali ini atau dalam sidang khas Parlimen, saya dan rakan-rakan barangkali akan kembali semua ke jalan raya untuk mendesak sebab apa yang kita bercakap di Parlimen kadang kalanya ia tidak dipedulikan.

"Sebab itu, ia amat penting untuk disegerakan soal Akta Antilompat Parti ini. Jangan main-main sebab perkara ini adalah perkara yang begitu mendesak dan kalau tidak mahu dengar juga.... maka kita lihatlah negara kita akan berada dalam kegelapan dan penghormatan kepada sistem Parlimen demokrasi ini tidak lagi menjadi satu penghormatan yang ada sebelum ini," katanya

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2021) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi Ahli Parlimen kerajaan yang menyokong pula, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) berkata, dalam apa cara dan keadaan sekalipun, RUU itu mesti dibentangkan segera.

Justeru, beliau mencadangkan apa yang mustahak ketika ini adalah ia mesti dibentangkan dalam apa bentuk sekalipun dan sebarang perubahan boleh dilakukan apabila akta itu dibentangkan dalam peringkat jawatankuasa.

"Hari ini saya sokongan beliau (Mohamad Sabu) tetapi cuma 80 peratus sajalah dan tidak 100 peratus kerana dalam ucapannya, penyebab kepada ketidakstabilan politik disebabkan PN (Perikatan Nasional) dan BN (Barisan Nasional) walhal sebenarnya yang tidak stabil hari ini kerana pergaduhan antara mereka iaitu PH (Pakatan Harapan).

"Akta Antilompat Parti mesti dilaksanakan. Ia mesti dilaksanakan, kita tidak boleh memberikan apa-apa alasan untuk menyatakan kita tidak boleh melaksanakan.

"Sebab pada saya, yang penting hari ini...saya difahamkan jemaah Menteri dalam kalangan mereka tidak ada persefahaman dari segi macam mana bentuknya RUU Antilompat Parti ini," katanya yang juga ahli 'backbencher' kerajaan.

Beliau berkata, apa yang penting RUU itu perlu dibentangkan segera dan segala kelemahan atau kekurangan boleh dilakukan kemudian.

"Bentangkan dalam apa bentuk sekalipun, mesti masukkan akta itu dalam Dewan Rakyat dan kalau ada apa-apa kelemahan, boleh 'tune' apabila bentang nanti dalam peringkat jawatankuasa.

"Kita boleh tambah yang mana kita rasakan tidak adil. Apa pun, akta itu mesti dibentangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 2:27 PM